POLIGAMI DALAM KONTEKS MAHKAMAH SYARIAH
- mohdshabran
- Apr 15, 2021
- 3 min read
AL-Quran, Hadis dan Ijmak telah mensyariatkan POLIGAMI, sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam Surah al-Nisa' ayat 3 yang berbunyi:
Yang bermaksud: Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain), dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu itu, maka berkahwinlah dengan seorang sahaja.
Maka jelas lah dengan ayat quran di atas, Poligami itu harus dengan syarat-syarat tertentu. Manakala dari al-Sunnah pula, terdapat sebuah Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Nasa'i dan al-Daraqutni yang berbunyi;
Terjemahannya: Nabi berkata kepada Ghaylan Ibn Umaiyah Al-Thaqafi yang telah memeluk Islam dan mempunyai sepuluh orang isteri pada zaman jahiliyyah. Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya "pilihlah empat orang sahaja dan ceraikan yang lain"
Di dalam KONTEKS POLIGAMI, penulis berpendapat ada dua isu utama yang menjadi soal iaitu;
[1] Pertama : Samada pemohon memenuhi syarat-syarat poligami sebagaimana yang digariskan oleh Hukum Syara'?
[2] Kedua : Samada pemohon mempunyai sebab atau alasan yang diharuskan untuk berpoligami mengikut Hukum Syara'.
Merujuk kepada isu pertama, penulis berpendapat selain dari syarat-syarat kelayakan standard dalam hokum syarak, ada dua syarat yang perlu dititikberatkan iaitu Kemampuan dan Kelayakan Pemohon.
Syarat pertama memerlukan si pemohon menyamaratakan nafkah kepada isteri-isteri lain. Lantaran itulah, Allah S.W.T telah menegaskan berkenaan perkara ini di dalam Al-Quran, Allah berfirman dalam Surah al-Nisa' ayat 3 yang berbunyi:
Yang bermaksud: Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain), dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu itu, maka berkahwinlah dengan seorang sahaja
Jelas bahawa ayat ini membawa pengertian Allah mengharuskan seseorang lelaki itu mengahwini perempuan sehingga 4 orang dengan syarat lelaki berkenaan berkeyakinan boleh berlaku adil. Mafhum Mukhalafahnya sekiranya tidak dapat berlaku adil maka ianya ditegah.
Meneliti kepada keratan ayat yang bererti "andainya kamu takut" bermaksud sekiranya seseorang itu merasa takut atau bimbang dirinya tidak akan dapat berlaku adil dengan perkahwinan yang seterusnya, maka Allah menegaskan supaya membataskan isterinya kepada seorang sahaja. Apatah lagi kalau sekiranya ia tidak mempunyai alasan yang cukup kuat atau sebab-sebab tertentu yang mendesak untuk berkahwin lagi. Tegahan berpoligami seperti yang dijelaskan di atas adalah untuk mengelak daripada berlakunya penyalahgunaan kuasa dan masalah yang berterusan terhadap wanita.
Seterusnya tentang kewajipan berlaku adil terhadap isteri-isteri bagi mereka yang berpoligami telah dijelaskan oleh hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
Terjemahan: Barang siapa yang mempunyai dua orang isteri, sedang ia melebihkan salah satu di antara mereka. Maka ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan keadaan bahunya yang senget sebelah.
Keadilan di sini bukanlah bermaksud menyamakan dari segi perasaan dan kasih sayang. Ia tidak dikehendaki sebegitu kerana ia tidak termampu oleh seseorang, syaratnya hanyalah mentaklifkan apa yang termampu oleh seseorang. Sebagai contoh, giliran bermalam dan giliran bermusafir. Hal ini tidak tertakluk kepada isteri-isteri sahaja tetapi termasuk anak-anak.
Allah S.W.T menegaskan tentang syarat adil dalam berpoligami supaya suami tidak terjerumus untuk menzalimi isteri sehinga isteri tidak merasa hak sebagai suami isteri sebagaimana Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa' ayat 129 yang berbunyi:
Yang bermaksud: Dan kamu tidak dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun bersungguh-sungguh (hendak melakukannya) oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awangan)
Seterusnya berhubung dengan syarat kedua, disyariatkan dalam poligami ialah berkemampuan. Syarat yang kedua ini merujuk kepada kemampuan suami dari segi fizikal dan material. Dari segi fizikal bermaksud suami tersebut hendaklah sihat tubuh badan dan tidak menghidapi sebarang penyakit yang kronik. Manakala dari segi material pula membawa maksud seorang suami itu hendaklah mempunyai kemampuan dari segi kewangan iaitu mampu memberi nafkah kepada isteri-isterinya. Di antara nas al-Qur'an yang menyentuh tentang kewajipan nafkah terhadap isteri ialah firman Allah Taala di dalam surah al-Baqarah ayat 233 berbunyi:
Yang bermaksud: ".....Dan kewajiban bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang makruf..."
Seterusnya dalil Sunnah yang menyebut tentang perkara tersebut ialah sebuah hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Dawud dan Malik serta lain-lain dari Jabir R.A berbunyi:
Terjemahannya: "Takutlah kepada Allah dalam urusan perempuan. Sesungguhnya mereka tiada kebebasan di sisi kamu, kamu mengambil mereka dengan amanah Allah S.W.T dan kamu menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah S.W.T. Dan wajib ke atas kamu memberi makan dan pakaian kepada mereka dengan cara makruf."
Nafkah yang dimaksudkan di dalam konteks ini ialah nafkah zahir. Ulama bersepakat bahawa yang dikatakan berkuasa menanggung nafkah itu ialah berkuasa menanggung makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal para isteri.
Dalam soal ini, suami tidak boleh mengurangkan nafkah seorang isterinya dengan alasan isteri mempunyai sumber kewangan sendiri, apatah lagi mengurangkan nafkah isteri pertama dengan alasan terpaksa berkongsi dengan isteri yang baru.
Penulis menegaskan bahawa syarat yang telah digariskan oleh syara' ini adalah bertujuan untuk menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan keluarga, sama ada keluarga yang sedia ada dan juga yang bakal dibina. Syarat-syarat yang ketat ini seterusnya dikawal oleh perundangan demi melindungi hak wanita daripada dieksploitasi yang mana prinsip keadilan dan pembelaan menjadi dasar dalam berpoligami serta tidak dimanipulasikan.
Recent Posts
See AllFasakh ialah pembubaran perkahwinan oleh hakim untuk menghilangkan mudharat seorang isteri yang dilakukan oleh suaminya. Ada banyak sebab...
Enakmen undang-undang keluarga islam Sabah merupakan satu rujukan utama dalam Mahkamah Syariah di negeri Sabah. Oleh itu, dalam tulisan...
Comentários